Monday, May 24, 2010



Latarbelakang

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.

Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).

Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Pendidikan

Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.[/b]

Perjuangan Dakwah

Tok Ku Paloh setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.

Kegiatan Anti-penjajah

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah adalah juga murid Tok Ku Paloh.

Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.



Sunday, May 16, 2010

ROSLI DHOBY


'Panggilan Mu yang Suchi'

Wahai Pemuda harapan bangsa,
Segeralah bangun membuat-kan jasa,
Kebangunan mu menyedar kan Melayu bangsa,
Ka-haluan kemajuan Aman Sentosa,
Wahai pemuda ber-chita suchi,
Kenal-kan Sarawak Negara kita yang Asli,
Meskipun bagai-mana anchaman akan terjadi,
Hendak lah sa-hidup sa-mati,
Mengibar-kan bendera menggambar kan hati,
Menunjok-kan rupa bangsa dan Negri,
Mengenal-kan hak di-tanahayer sendiri,
Wahai pemuda yang ber-semangat kan gelisah,
Insap-lah pada perjuangan bangsa,
Lambat bangat di-takdzir Allah,
Bangsa dan tanahayer tetap Merdeka.

Oleh : Lidros ( Rosli Dhoby ) Utusan Sarawak 28 Februari 1949

Pahlawan Yang tidak didendangkan

Rosli Dhoby merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Sharif Masahor. Usianya ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Rosli Dhoby telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama-sama Morshidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong pada 15 Disember 1949. Mereka telah berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British. Rosli dan Morshidi mati di tali gantung pada 2 Mac 1950 manakala Awg Rambli dan Bujang Suntong pada 23 Mac 1950.

Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua di Sarawak, Sir Duncan George Stewart dengan menggunakan badik beracun di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Melayu yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Sarawak dikuasai oleh penjajah rakyat British, Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke terdiri daripada iaitu Sir James dan anak saudaranya Sir Charles Brooke. Anak kepada Sir Charles Johnson Brooke ada dua orang, iaitu Charles Vyner B dan Sir Bertram. Dalam Wasiat politiknya, Rajah Charles J. Brooke menitahkan kepada Sir C. Vyner untuk berbincang dengan Sir Bertram sebelum membuat apa-apa pindaan dalam kerajaannya. Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Beliau berada di Australia ketika rakyat Sarawak sengsara diduduki Jepun. Kerajaan Mahkota Inggeris juga tidak mampu mempertahankan Sarawak walaupun telah berjanji untuk menaunginya.
Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat' atau `Fardu' kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud. Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby1 Mac, 1950.

http://perisik-rakyat.com/
http://wasiatpejuang.blogspot.com/
http://beritasemasa.com/