Sunday, May 16, 2010

ROSLI DHOBY


'Panggilan Mu yang Suchi'

Wahai Pemuda harapan bangsa,
Segeralah bangun membuat-kan jasa,
Kebangunan mu menyedar kan Melayu bangsa,
Ka-haluan kemajuan Aman Sentosa,
Wahai pemuda ber-chita suchi,
Kenal-kan Sarawak Negara kita yang Asli,
Meskipun bagai-mana anchaman akan terjadi,
Hendak lah sa-hidup sa-mati,
Mengibar-kan bendera menggambar kan hati,
Menunjok-kan rupa bangsa dan Negri,
Mengenal-kan hak di-tanahayer sendiri,
Wahai pemuda yang ber-semangat kan gelisah,
Insap-lah pada perjuangan bangsa,
Lambat bangat di-takdzir Allah,
Bangsa dan tanahayer tetap Merdeka.

Oleh : Lidros ( Rosli Dhoby ) Utusan Sarawak 28 Februari 1949

Pahlawan Yang tidak didendangkan

Rosli Dhoby merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Sharif Masahor. Usianya ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Rosli Dhoby telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama-sama Morshidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong pada 15 Disember 1949. Mereka telah berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British. Rosli dan Morshidi mati di tali gantung pada 2 Mac 1950 manakala Awg Rambli dan Bujang Suntong pada 23 Mac 1950.

Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua di Sarawak, Sir Duncan George Stewart dengan menggunakan badik beracun di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Melayu yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Sarawak dikuasai oleh penjajah rakyat British, Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke terdiri daripada iaitu Sir James dan anak saudaranya Sir Charles Brooke. Anak kepada Sir Charles Johnson Brooke ada dua orang, iaitu Charles Vyner B dan Sir Bertram. Dalam Wasiat politiknya, Rajah Charles J. Brooke menitahkan kepada Sir C. Vyner untuk berbincang dengan Sir Bertram sebelum membuat apa-apa pindaan dalam kerajaannya. Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Beliau berada di Australia ketika rakyat Sarawak sengsara diduduki Jepun. Kerajaan Mahkota Inggeris juga tidak mampu mempertahankan Sarawak walaupun telah berjanji untuk menaunginya.
Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat' atau `Fardu' kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud. Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby1 Mac, 1950.

http://perisik-rakyat.com/
http://wasiatpejuang.blogspot.com/
http://beritasemasa.com/


No comments:

Post a Comment